| Cult: Ajaran Sesat Remaja Di Malaysia |
|
|
|
| Ditulis oleh Ibrahim b. Abdul Wahab | ||
| Selasa, 03 April 2007 | ||
|
Cult atau pun ajaran sesat adalah satu perilaku atau fahaman yang sering dikaitkan dengan kesesatan kerana ajarannya mempunyai unsur-unsur ketahyulan, khurafat dan pemujaan syaitan. Ajaran sesat sebenarnya didokongi oleh satu golongan atau kumpulan manusia yang menjadikan pemujaan atau penyembahan iblis dan syaitan sebagai matlamat utama ajaran. Di samping itu, mereka juga berpegang kepada kepercayaan dan fahaman-fahaman yang berunsur tahyul dan khurafat atau magic serta sihir yang ada kaitannya dengan kedudukan, keagongan atau kemuliaan seseorang. Juga terdapat penyalahgunaan dadah dan seks bebas, didorong oleh fahaman keagamaan dan politik songsang serta lain-lain. Memang terdapat individu yang memuja manusia atau kumpulan tertentu kerana minat atau perasaan kasih dan sayang yang melampau. Dan Islam telah pun meletakkan garis panduan yang jelas dalam hal ini agar ia tidak melampaui batas. Dalam Islam, pemujaan terhadap mana-mana objek atau makhluk selain dari Allah adalah satu kesesatan yang sudah tentu membawa kepada syirik. Apatah lagi yang menjadi objek pemujaan itu adalah syaitan yang sudah jelas kedudukannya sebagai musuh umat manusia yang utama. Menurut ajaran Islam, segala kepercayaan yang tidak mengagungkan KeEsaan Allah adalah ajaran sesat. Pemujaan yang mutlak hanyalah kepada Allah, bukan kepada yang lain dariNya. Mengapa fahaman dan ajaran cult ini menjadi sesat ? Terdapat beberapa ciri yang menjadikan ajaran tersebut sebagai sesat. Perkara pokok adalah seperti berikut: Jika dahulu, pengaruh cult ini cukup meluas di kalangan golongan dewasa, tetapi kini ia telah merebak di kalangan anak-anak remaja. Jika dulu ajaran sesat ini didorong oleh fahaman agama yang songsang, tetapi kini pengaruh muzik juga boleh menjadikan seseorang itu sesat. Cuba imbau kembali gejala buruk black metal di kalangan remaja negara ini baru-baru ini. Mengapa perkara ini terjadi? Adakah ibubapa gagal mendidik anak-anak mereka sebaiknya? Adakah guru-guru tidak memberikan ajaran agama secukupnya kepada murid mereka di samping menunjukkan kepincangan institusi ulama ? Sememangnya amat di luar daripada dugaan bahawa muzik boleh menjadi satu kumpulan cult atau kumpulan ajaran sesat. Memang kuat juga pengaruh muzik ini terutamanya di kalangan kanak-kanak dan remaja. Pengaruh cult dan ajaran sesat di kalangan remaja yang berpunca akibat dari rasa fanatik dan ta'assub terhadap muzik tertentu mula menggemparkan negara ini apabila pengaruh buruk muzik black metal meresap ke dalam jiwa remaja. Bagaimana pengaruh cult boleh meresap ke dalam diri remaja? Pada dasarnya, ia berpunca dari pengaruh muzik black metal. Walaupun ia sejenis aliran muzik dari genre metal, tetapi ia bukan semata-mata muzik. Ia adalah aliran muzik liar dan songsang yang bersifat underground dan banyak menampilkan aliran muzik berbentuk hard rock dan heavy metal. Terdapat unsur pemujaan syaitan dalam aliran muzik ini dan ia mula dikesan pada tahun 1970an apabila artis rock dari Amerika Jimmy Hendrik mula menonjolkannya. Bermula dari situ, jumlah peminatnya semakin ramai sehingga terbentuklah kumpulannya yang tersendiri. Penampilan mereka di atas pentas dengan wajah syaitan yang dipuja akhirnya menjadi ikutan sebagai satu trend masyarakat terutamanya remaja. Kesannya bukan sahaja dari segi penampilan wajah, tetapi juga pakaian sehinggalah kepada fahaman dan kepercayaan. Selain black metal, terdapat juga muzik metal lain seperti Pink Metal, Skin Head, Hip Hop, Trash Metal dan Hard Metal. Kesemua aliran muzik ini mempunyai peminatnya yang tersendiri. Biasanya terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang amat meminati aliran muzik ekstrem. Mengimbau kewujudan dan penerimaan remaja negara ini terhadap muzik aliran ini, ia bermula seawal tahun 1980-an. Kehadirannya di negara ini dari negara asalnya seperti Sweden, Norway dan Finland pada masa itu terdapat pelbagai reaksi masyarakat. Antara rasa bimbang dan cemas, suka dan benci, namun ia mendapat perhatian yang memberangsangkan dari golongan muda-mudi. Pada mulanya ia hanyalah satu hiburan dari aliran muzik kontemporari, tetapi kini ia mengejutkan negara sebagai satu kumpulan ajaran sesat dengan pengikut dan cirinya tersendiri. Jika ditinju dari sudut penampilan kumpulan muzik black metal ini, banyak yang buruk dari baiknya. Pakaian serabai dan wajah syaitan menjadi imej digemari. Setiap album dan lirik lagu menyimpang dari syariat Islam. Ia mengandungi unsur anti ketuhanan dan pemujaan syaitan serta khurafat. Tidak hairanlah pada peringkat awal lagi, masyarakat amat tidak senang dengan kehadiran aliran muzik ini di negara ini. Walau bagaimanapun, kebimbangan yang ada tidak mampu menyekat pengaruhnya. Ini kerana ia bukanlah satu isu jenayah sehingga sampai mengancam kestabilan atau keselamatan negara. Akibatnya, tiada sebarang pemantauan oleh pihak berkuasa kerana bab ini bukan kerja mereka. Dalam satu perjumpaan mufti-mufti di Pulau Pinang tidak berapa lama dulu, ada disarankan agar kerajaan mengharamkan kemasukan muzik aliran ini ke negara ini. Tindakan ini kelihatannya amat berisiko. Ia mungkin akan mengundang kekecewaan golongan pencinta seni yang berjuang atas dasar seni untuk seni. Tetapi sekiranya semua pihak berfikir secara logik, semua tindakan mereka akan lebih rasional lagi. Ciri-ciri ahli kumpulan black metal: Pengaruh cult dan ajaran sesat di kalangan remaja negara ini merupakan satu isu serius dan mesti dibanteras segera. Semua pihak seperti ibubapa, guru, pemimpin agama dan masyarakat perlu berganding bahu bagi membanterasnya. Ibu bapa perlu sering memantau perilaku anak-anak mereka. Jangan abaikan perhatian yang sepatutnya anak-anak ini terima. Pihak kerajaan pula harus lebih memahami aliran muzik yang membina roh dan minda serta daya intelek remaja dan muda-mudi, bukan semata-mata rambang mata kepada keuntungan berlipat ganda tetapi sebenarnya merosakkan. Penguatkuasaan perlu sering dipertingkatkan lagi. Jika perlu, haramkan kemasukan aliran muzik yang akan mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat. Sememangnya setiap ahli masyarakat negara ini sentiasa prihatin dan akan bekerjasama dengan kuasa yang ada pada pihak berkuasa demi kebaikan bersama.
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen. Powered by AkoComment 2.0! |
||
