| Khilaf: Prinsip & Disiplin |
|
|
|
| Ditulis oleh Abdul Muiz b Muhammad | ||
| Jumaat, 12 Oktober 2007 | ||
|
Sesungguhnya umat Islam hanya dibenarkan berkhilaf pada perkara furu’ sahaja, bukan pada perkara usul kerana ia boleh menggugurkan keIslaman sesiapa yang mempertikaikannya. Apabila ada mempertikaikan atau menidakkan perkara usul yang mempunyai nas yang jelas dan tetap, maka tanggungjawab umat Islam agar memperbetulkan pertikaiannya. Jika tidak diterima penerangan yang telah diberikan, tetap enggan ingkar terhadap ketetapan hukum tersebut, maka menjadi tanggungjawab umat Islam agar memperjuangkan perkara tersebut kerana ia berkaitan dengan aqidah. Apabila diingkari perkara yang usul, boleh membatalkan keIslaman orang yang mengingkarinya. Justeru atas dasar aqidah, perlu ditentang keingkaran tersebut dengan apa cara sekalipun kerana perkara usul apabila dicemari akan ditanya oleh Allah diakhirat kelak akan tindakan kita mempertahankannya. Saidina Abu Bakr jelas memperjuangkan perkara yang usul. Setelah beliau dibai’ah menjadi khalifah, umat Islam yang tipis imannya murtad setelah kewafatan baginda. Mereka beramai-ramai murtad serta ingkar kewajiban membayar zakat kepada kerajaan Islam pimpinan Abu Bakr. Sedangkan zakat adalah perkara yang usul. Mempunyai dalil yang qath’ie akan kefardhuannya. Abu Bakr dengan tegasnya memerintahkan agar diperangi golongan yang ingkar tersebut. Berkata Umar kepada Abu Bakr; “Bagaimana kita hendak memerangi mereka sedangkan Rasulullah telah bersabda Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehinggalah mereka mengaku tiada tuhan melainkan Allah, maka barangsiapa yang telah mengucap Lailahaillah terpelihara dariku hartanya dan nyawanya kecuali dengan hakNya dan perkiraan keatas Allah. Lalu Abu Bakr berkata; Aku tetap akan memerangi sesiapa yang memisah-misahkan antara solat dan zakat, sesungguhnya zakat adalah hak bagi harta, dan demi Allah!, jika aku dihalang dengan diikat dengan tali sekalipun, walaupun mereka membayar zakat kepada Rasulullah, aku tetap akan memerangi mereka yang ingkar terhadapnya!. Berkata Umar; maka demi Allah tiada lain kecuali aku melihat Allah telah mecerahkan hati Abu Bakr…” Imam Ahmad Bin Hanbal sanggup diseksa demi mempertahankan perkara yang usul. Di zamannya menular pengaruh Mu’tazilah termasuk pemerintahnya sekali. Beliau dipaksa untuk mengakui Kalam Allah adalah baharu. Sifat Qadim Kalam Allah adalah perkara Usul. Beliau sanggup diseksa dengan dahsyatnya. Rakan-rakannya menasihati agar bertaqiyyah sahaja. Berpura-pura mengakui Kalam Allah adalah baharu, tetapi di hati tetap berpegang bahawa Kalam Allah bersifat Qadim. Beliau tetap memilih mempertahankan pendiriannya berjuang menentang kesesatan Aqidah Mu’tazilah yang bertuhankan akal. Ketika beliau dinasihati oleh sahabatnya yang memintanya bertaqiyyah; “..wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Ahmad), engkau mempunyai keluarga, engkau ada anak kecil dan engkau lemah…” maka Imam Ahmad menjawab “ Jika prinsip inilah yang ada di dalam fikiranmu, maka lebih baik engkau berehat (tidak perlu berjuang demi Islam)”. Lantas beliau menegaskan “ Aku tidak hairan dengan penjara, tiada bezanya dengan kediamanku, aku tidak takut dibunuh dengan pedang, akan tetapi aku cukup takut diuji dengan sebatan, bimbang tidak mampu bertahan dengannya..” Maka terbitlah dari mulut Imam Ahmad kata-kata yang cukup memberi kesedaran kepada mereka; "ÅÐÇ ÓßÊ ÇáÌÇåá ÈÌåáå æÃÌÇÈ ÇáÚÇáã ÊÞíÉ ÝãÊì ÊÞæã ááå ÍÌÉ!¿" “Jika orang jahil dibiarkan senyap dengan kejahilannya, dan ulama’ menjawab dengan kepuraan, maka bilakah akan nyata kebenaran dari Allah” Dari dua kisah yang telah diterangkan di atas, jelas inilah prinsip yang diajar oleh Islam. Tiada toleransi dan lapang dada terhadap sesiapa yang menidakkan perkara yang usul. Itulah prinsip yang dipegang oleh tokoh agung Saidina Abu Bakr. Walaupun beliau dikenali sebagai sahabat yang tenang dan lembut, apabila bertembung dengan keingkaran terhadap perkara yang usul, beliau bertindak tegas sehinggakan Umar pun tunduk mengakui ketegasan beliau. Inilah tarbiyyah dari Rasulullah terhadap sahabat-sahabatnya. Lembut dan tegas bertempat. Jika situasi yang berhajatkan ketegasan, perlu tegas demi mempertahankan prinsip Islam. Begitu juga kisah perjuangan Imam Ahmad sanggup mempertahankan prinsip usul walaupun terkorban. Inilah yang diajar oleh para sahabat dan ulama’ Islam agar bertegas dalam perkara yang usul. Prinsip inilah yang perlu diperjuangkan. Sebaliknya perkara furu’, kita tidak diajar untuk memperjuangkannya bermati-matian kerana selagi ianya furu’, tetap diberi ruang untuk khilaf oleh syara’. Jangan hanyut bermati-matian memperjuangkan perkara yang furu’, sedangkan banyak lagi perkara yang usul ketinggalan untuk ditegakkan. Yang dikendong berciciran, yang dikejar tidak dapat. Suasana kini terlalu banyak perkara usul yang tidak ditegakkan. Jangan hanyut dan khayal terhadap perkara furu’. Dihadapan sana terlalu banyak perkara usul yang perlu diperjuangkan. Antaranya ketuanan perundangan Islam secara syumul, murtad semakin berleluasa dan sebagainya. Itu semua perkara usul yang wajib kita pertahankan dan perjuangkan. Jika dibiarkan tanpa sedikitpun usaha, kita bimbang tidak mampu untuk menjawab di hadapan Allah, apakah sumbangan kita dalam mempertahankan prinsip Islam. Buat masa kini, umat Islam digesa agar menumpukan sepenuh perhatian kepada perkara yang usul. Utamakannya, pasti kita tidak akan berpecah belah kerana masing-masing mengerti mana yang perlu diambil keutamaan.
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen. Powered by AkoComment 2.0! |
||
