| Seputar Ramadhan Menanti Syawal |
|
|
|
| Ditulis oleh Muhammad Khairullah Hasyeem | ||
| Sabtu, 22 November 2008 | ||
|
Hari silih berganti hari, menandakan makin hampir perginya Ramadhan tahun ini. Bagi mereka yang merindui dan menantikan bulan yang penuh barakah ini, tentu merasakan pemergian Ramadhan adalah suatu yang memilukan hati. Lebih-lebih lagi mereka yang benar-benar menghayati ibadah dan ganjaran yang berlipat kali ganda di bulan yang diiktiraf oleh Allah sebagai bulan petunjuk. Para ulama sering mengingatkan kita cara-cara bagaimana menghayati Ramadhan dengan lebih sempurna. Antara caranya adalah dengan kita sentiasa mengulang kaji dan bermuzakarah tentang 'feqh as siyam', iaitu feqh yang mempunyai kaitan dengan hukum-hakam puasa dan juga amalan-amalan sunnah yang sahih diamalkan oleh Rasulullah SALALLAHUALAIHI WASALAM di bulan Ramadhan.Terdapat juga cara lain yang dapat kita lakukan untuk menghayati Ramadhan yang penuh barakah ini dengan mentadabbur isi dan kandungan hadith-hadith yang berkaitan dengan kelebihan Ramadhan. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan, penulis gemar membawa beberapa hadith yang menceritakan mengenai kelebihannya ; 1.) Daripada Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah SALALLAHUALAIHI WASALAM yang bermaksud : “Apabila tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan” - Hadith dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, an Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi. 2.) Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SALALLAHUALAIHI WASALAM bersabda; “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu” - Diriwayatkan oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi. 3.) Daripada Abu Hurairah telah berkata; Aku telah mendengar Rasulullah SALALLAHUALAIHI WASALAM bersabda tentang Ramadhan “ Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu” - Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi. 4.) Daripada Abi Soleh az Zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah SALALLAHUALAIHI WASALAM telah bersabda yang bermaksud : "Setiap amalan anak Adam adalah baginya, melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya”. - Hadith riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi. Ke semua hadith-hadith yang disebutkan adalah mengenai kelebihan-kelebihan berpuasa di bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya. Hikmah yang terpenting dalam kita menghayati Ramadhan ini adalah ' taqarrub' diri kepada Allah.Tetapi bagaimana ber-taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah? Perlu diketahui, bahawa ber-taqarrub kepada Allah tidak dapat dicapai dengan meninggalkan segala perkara yang dilarangNya. Nabi SALALLAHUALAIHI WASALAM bersabda : "Barangsiapa tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan dusta maka Allah tidak menerima dengan puasanya dari makan dan minum." Hadith riwayat imam Bukhari. Inti pernyataan ini menunjukkan bahawa, tidak sempurna ber-taqarrub kepada Allah Ta'ala kecuali setelah kita meninggalkan hal-hal yang haram dan waspada pada perkara yang dimurkaiNya. Dengan kita menghayati dan menjadikan setiap Ramadhan yang kita lalui ini dengan penuh kesempurnaan, tentulah segala amalan kita berada di dalam limpahan rahmat Allah Taala. Setelah kita berpenat lelah menjadi hamba Allah yang menahan diri dari makan dan minum dan juga mendidik nafsu menjadi lebih baik,,maka kita akan menjadi hamba Allah yang mantap dari segi tarbiah ruhiyyah dan jasmaniah. Terdapat manfaat-manfaat yang perlu kita ketahui apabila kita melalui tarbiah puasa ini. Ditinjau dari segi kejiwaan, sosial dan kesihatan; antaranya: 1).Puasa secara kejiwaan adalah puasa membiasakan kesabaran,menguatkan kemahuan, mengajar dan membantu bagaimana menguasai diri, serta mewujudkan dan membentuk ketaqwaan yang kukuh dalam diri, dan ini merupakan hikmah puasa yang paling utama. Firman Allah Taala : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa". (Al-Baqarah: 183) 2).Membiasakan umat berlaku berdisiplin, cintakan keadilan dan persamaan (al musaawa), serta melahirkan perasaan kasih sayang dalam diri orang-orang beriman dan mendorong mereka berbuat kebajikan. 3).Membersihkan usus-usus, memperbaiki kerja pencernaan, membersihkan tubuh dari sisa-sisa dan endapan makanan, mengurangi kegemukan dan kelebihan lemak di perut 5). Menjadikan kita hamba Allah yang sentiasa bersyukur, sentiasa memikirkan hal saudaranya yang memerlukan dan mendorong diri untuk membantu mereka. 7. Mempersempitkan jalan syaitan pada diri anak Adam, aman dari gangguan syaitan kerana puasa tersebut telah mengekang kekuatan nafsu syahwat yang sedia wujud dalam diri manusia. Kerana itu, Nabi Muhammad telah menjadikan puasa sebagai benteng untuk menghalangi nafsu pemuda yang belum mampu mendirikan rumah tangga dengan amalan puasa. Oleh yang demikian,dapatlah kita sama-sama menghidupkan Ramadhan ini dengan ilmu-ilmu yang dapat amalkan bersama,amalan-amalan sunnah dan juga perkara-perkara yang dapat menghidupkan cahaya hati-hati kita dengan iman dan taqwa. Juga kita berharap agar dapat bertemu Ramadhan yang akan datang.
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen. Powered by AkoComment 2.0! |
||
| Dikemaskini ( Sabtu, 22 November 2008 ) | ||
