webspace hosting reseller hosting|             | blog| forum| dating| free hosting| openhost| report abuse
Internet Fax To Email - Unlimited

Unlimited Faxes, No Fees, Dedicated Phone Number

Free Website Templates
Menu Content/Inhalt
Utama

Waktu Solat

Kaherah, Mesir
Sat 21st November
Subuh
Syuruk
Zohor
'Asar
Maghrib
Isyak

Log Masuk

Kata Nama

Kata Laluan

Ingatlah saya
Terlupa kata laluan anda?
Masih tiada akaun? Buatlah satu
Pembinaan Ulama': Kepincangan Islah Diri PDF Cetak E-mail
Kadaran oleh Pengguna: / 1
TerukBagus 
Ditulis oleh Amly Asenar   
Khamis, 16 Mac 2006

1.0 Introduksi  

Pembentukan dan perkaderan amat penting di dalam Islam. Dengan adanya sistem ini maka Islam itu sentiasa akan berkembang dan melebarkan sayapnya dalam apa jua suasana dan keadaan. 50 tahun dahulu ketika yahudi merampas kembali Al Quds daripada tangan orang Islam, sudah pasti mereka merasakan bahawa agenda mereka mewujudkan Yahudi Raya sudah semakin hampir. Namun sangkaan mereka meleset sama sekali, mereka berhadapan dengan benteng Islam terakhir yang sehingga ke hari ini masih terus bertahan dengan segala kudrat yang mereka ada . Kemenangan Hamas baru-baru ini menggemparkan dunia terutama Amerika dan Israel. Walaupun penggerak utama Hamas seperti Syeikh Yasin dan yang lainya dibunuh satu persatu namun Allah menggantikan dengan kemenangan kepada Hamas pada pilihanraya yang lalu.

Mengapa kematian Syeikh Yassin tidak mematikan gerakan Hamas?

Ini adalah disebabkan mereka mempunyai sistem pembentukan dan perkaderan yang mantap dalam memperjuangkan Islam. Bukan kemenangan di atas tangan mereka yang mereka mahukan tetapi kemenangan yang ditentukan oleh Allah. Oleh sebab itu, proses memperjuangkan Islam di Palestin terus berlaku sehingga ke hari ini. Inilah yang dirisaukan oleh pihak musuh akan kekuatan utama yang ada pada pejuang Islam apabila mereka berjuang kerana Allah dan bukannya kerana dunia. Habuan duniawi dan kematian tidak dapat menyekat kemaraan perjuangan Islam, cuma mampu melengahkan proses kemenangan.

Apakah kaitannya dengan ulama'?

Penulis membawakan kisah Hamas kerana perjuangan mereka berada pada medan peperangan sebenar membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Yahudi. Perjuangan ulama' juga memainkan peranan yang sama bahkan lebih daripada itu iaitu menjaga syariat Allah agar terus dimartabatkan dan proses islah terus berlaku dalam masyarakat dalam apa jua bentuk dan medan.

2.0 Proses Islah Tanpa Henti

Firman Allah :

  كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ (١١٠)[1]

110. Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Proses Islah merupakan salah satu ciri utama kepada pembentukan umat Islam yang terbaik. Maka setiap individu terutamanya untuk bergelar ulama' berkewajipan mengislahkan dirinya bagi melayakkan dirinya melakukan proses islah. Apabila menyebut proses islah sudah pasti acuan Allah adalah yang terbaik.

Firman Allah :

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ (١٣٨)[2]

138. (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang Kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah Yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".

3.0 Kepincangan Islah Diri

Menjadikan diri sebagai seorang ulama' merupakan idaman bagi setiap individu yang belajar secara khusus dalam bidang agama ini. Perlumbaan dalam mem'faqih'kan diri atau menambahkan ilmu merupakan agenda utama bagi mencapai hasrat ini. Ini membentuk kepada suatu bentuk generasi yang hanya menumpukan kepada mendalami ilmu tetapi pincang dari sudut mengislah diri dan menjaga akhlak.

Dalam perkara ini Dr. Umar Sulaiman Asyqar berpandangan :

"Faqih yang kami mahukan ialah faqih yang wara' bertaqwa yang senantiasa takutkan Allah dan inilah faqih sepertimana di zaman awal Islam. Itulah faqih yang diterima fatwanya. Adapun fuqaha' yang berilmu tiada padanya ketaqwaan maka mereka itu merupakan bala kepada ummah. Ganti daripada sepatutnya mereka mengubati penyakit ummah, mereka pula yang menjadi sebab kepada hilangnya agama, kerana sesatnya mereka menyebabkan sesatnya manusia. Manusia berpandukan kepada fatwa mereka dan juga kerana musuh Islam akan mempergunakan mereka untuk kemaslahatan mereka".[3]

Ini begitu dirasai dalam suasana hari ini apabila kecemerlangan akademik diberikan keutamaan dalam sistem pendidikan yang ada. Malahan peruntukan masa yang banyak dihabiskan untuk mencapai kecemerlangan akademik ini.

4.0 Pembentukan Ketaqwaan

Pembentukan ketaqwaan juga memerlukan masa dan medan bagi menatijahkan hasil. Ini disebutkan sebagai proses tarbiah yang mana proses ini menjurus kepada mendalami ilmu dan mendidik jiwa dan ke arah pembentukan syaksiah atau peribadi yang mulia.

Natijah daripada hasil pembentukan peribadi ketaqwaan dalam diri seorang alim akan memberikannya kekuatan untuk membawa Inzar (peringatan) kepada masyarakat dalam proses islah.

Firman Allah :

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ (١٢٢)[4]

122. Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar,memberi peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Dr Yusuf Qaradawi menyatakan :

" Sesungguhnya ilmu pada pandangan Islam bukan sekadar penuh dengan maklumat, tidak kira betapa bernilainya maklumat tersebut sehinggakan ilmu yang diambil daripada jalan nubuwwah (merupakan ilmu paling tinggi) tidak mencukupi dengan semata-mata mendapatkannya dan menghasilkan ilmu tersebut, bahkan yang semestinya bagi tuan diri ilmu itu beriltizam dengan nilai akhlak yang ada pada ilmu itu. Ini menjadikannya ahli pengganti kepada tugas para nabi".[5]

5.0 Generasi Ulama' Bertanggungjawab

Mustafa Masyhur menyatakan :

 “Usaha memaksikan agama Allah bertapak di atas muka bumi dan berdirinya Daulah Islamiah yang sejagat yang berpusatkan Khilafah Islamiah merupakan tugas yang agung dan berat yang memerlukan kepada kerahan tenaga yang besar dan memakan masa yang lama yang tidak dapat dilaksanakan melainkan dengan mengikut peringkat dan marhalah perlaksanaannya. Oleh itu, perkara utama yang perlu diberikan perhatian sepenuhnya dalam jalan dakwah ini ialah perkaderan atau penerusan warisan dakwah ini pada seluruh matlamatnya, objektifnya, perencanaannya, asasnya dan pengalamannya agar dapat diwariskan kepada generasi yang seterusnya tanpa perubahan dan penyelewangan[6]

Justeru, peranan ulama' juga penting dalam memastikan syariat Allah itu dimartabatkan. Maka ini memerlukan kepada kesedaran untuk menanggung tanggungjawab yang amat berat dan bebanan yang mesti dipikul.

Setiapkali bertambahnya ilmu seorang alim itu maka bertambahlah tanggungjawabnya. Inilah perasaan yang perlu ada dalam diri individu yang mahu bergelar seorang ulama'.

Dr.Yusuf Qaradawi[7] menyatakan bahawa tanggungjawab yang ada pada ilmunya ialah seperti berikut :

  • mengikhlaskan diri
  • menjaganya agar tidak hilang
  •  mendalamkan lagi ilmu
  •  beramal dengan ilmunya
  •  mengajarkan ilmunya kepada sesiapa yang menghendaki
  •  menyebarkan ilmunya agar semua mendapat manfaat
  •  menyediakan generasi pelapis yang akan menggantikan tugasnya agar proses ilmu tidak terputus

Jelaslah bagi kita di sini akan tanggungjawab yang begitu banyak perlu dilunaskan. Adakah kita masih mahu membuang masa dan melakukan perilaku yang jauh dan menyimpang sebagai seorang ulama'?

Seorang faqih di zaman Sahabat iaitu Abu Darda' berkata :

إنما أخشى من ربى يوم القيامة أن يدعونى على رؤوس الخلائق فيقول لى : يا عويمر فأقول : لبيك رب ! فيقول : ما عملت فيما علمت؟[8]

Maksudnya :

 " Aku takut di hari kiamat nanti apabila namaku dipanggil oleh Allah dan ditanyakan kepadaku : "Apa yang telah engkau perbuat dengan ilmu engkau pelajari?".

6.0 Konklusi

Episod perjuangan Islam yang hendak diteruskan pada hari ini memerlukan barisan para ulama' yang mapan dari sudut ilmunya dan bergerak selari dengan ilmunya, menjadi qudwah serta mampu diteladani oleh masyarakat. Ulama' yang turun menyebarkan ilmu sehingga mampu menggerakkan masyarakat mempertahankan syariat Islam dan menolak arus jahiliah yang mencengkam dunia hari ini. Harapan agar keikhlasan para ulama' dan ketaqwaan mereka memancarkan cahaya nur Ilahi kepada sanubari setiap insan yang mendengarnya. Sudah pasti kekuatan seperti ini tidak terhasil dengan kemantapan ilmu semata-mata tanpa adanya janaan ketaqwaan dalaman dalam diri seseorang alim itu.

والله من وراء القصد وعليه توكلت وإليه أنيب

وما أريد الا الإصلاح وما توفيقى الا بالله

الفقير إلى الله

Amly Asenar

Abu kinanah

BA Syariah dan Undang-Undang

Jabatan Syariah Islamiah

Universiti Al Azhar As Syariff

Cawangan Tanta

Penuntut

Darul Ifta' Al Misriah

Mesir



[1]Surah Al Imran : 110

[2]Surah Al Baqarah : 138

[3] Lihat : Umar Sulaiman Asyqar (Prof.Dr.), Madkhal ila Syariah Wa Feqh Islami, Amman, Darul Nafais, Cet.1, 2005 M-1425 H, Hal. 377 

[4]Surah At Taubah : 122

[5]Yusuf Qaradawi (Dr.), Rasul Wa Ilmu, Beirut, Muassasah Risalah, Cet.3, 1985 M-1406 H, Hal. 61 

[6]Mustafa Masyhur, Min Fiqh Dakwah, Kaherah, Darul Tauzi' Wa Nashr Islamiah, 1995 M, Jil.1, Hal. 412  

[7]Yusuf Qaradawi (Dr.), Op.Cit. Hal. 62

[8]Diriwayat oleh Imam Baihaqi

Ruangan Komentar

Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen.
Sila login atau daftar.

Powered by AkoComment 2.0!

Dikemaskini ( Khamis, 22 November 2007 )