| Kezaliman Atas Kezaliman |
|
|
|
| Ditulis oleh Zaidul Amin Suffian Ahmad | ||
| Khamis, 13 April 2006 | ||
|
قال عبد الله :
لما نزلت : (( الذين ءامنوا ولم يلبسوا إيمانهم بظلم )) (الأنعام 82) قال أصحاب رسول الله صلي الله عليه وسلم :
أيّنا لم يظلم ؟ فأنزل الله : ((إنّ الشرك لظلم عظيم)) (لقمان 13) Mafhum hadith: Diriwayatkan oleh Imam Bukhari telah berkata Abdullah ketika mana
diturunkan ayat: "Orang-orang yang beriman tidak mencampur adukkan iman
mereka dengan kezaliman" maka telah berkata dari kalangan sahabat-sahabat
Rasulullah s.a.w : "Adakah ada dikalangan kami ini seseorang yang tidak
pernah berlaku zalim?". Maka Allah
berfirman: " Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang
besar ". Ketika mana diturunkan ayat dari surah al-an'am ayat ke-82 para sahabat
Rasulullah s.a.w memahami apa yang dimaksudkan dengan zalim بظلم)) adalah mereka yang melakukan segala bentuk kezaliman dan
maksiat secara umum samada kecil atau pun besar, kerana pada pemahaman mereka
tidak ada seorang manusia pun yang akan terlepas dari melakukan kezaliman dan
maksiat melainkan Rasulullah s.a.w. Berkata
Khattabi : Pada peringkat awal para sahabat menganggap syirik adalah sesuatu
yang lebih besar dari zalim (ظلم) kerana
pada mereka yang dimaksudkan dengan (ظلم) itu adalah
melakukan sebarang bentuk maksiat kepada Allah. Maka turunlah firman Allah menjawab persoalan sahabat-sahabat itu dalam
surah Luqman ayat ke-13 : "Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar" menerangkan bahawa apa yang dimaksudkan dengan melakukan
kezaliman (ظلم) disini adalah sebesar-besar dan sejahat-jahat kezaliman iaitu
mereka yang syirik kepada Allah s.w.t dari segala segi. Ada pendapat yang mengatakan persoalan sahabat itu merupakan sebab
diturunkan ayat dari surah Luqman ayat ke-13, akan tetapi dari riwayat yang
lain oleh Imam Bukhari dan Muslim dari A'masy atau Sulaiman yang meriwayatkan
hadith ini, begitu juga riwayat dari Jarir , Waki' dan Isa bin Yunus
(masing-masing berbeza dari segi sanad dan matan) membuktikan bahawa sebab
turunnya ayat ke-13 dari surah Luqman itu bukannya kerana persoalan sahabat
tersebut kerana ayat tersebut sudah diturunkan sebelum dari itu dan sudah
diketahui oleh kebanyakan sahabat, maka diulang-ulang firman Allah itu adalah
sekadar peringatan bagi mereka akan bahayanya mensyirikkan Allah s.w.t.. Hadith ini merupakan salah satu hadith yang menjadi dalil hadith atau
sunnah Rasulullah s.a.w. menerangkan atau menterjemahkan al-Quran, juga
merupakan antara hadith yang menceritakan perkara-perkara yang berkaitan dengan
syirik yang mana telah diketahui Allah tidak akan mengampunkan dosa
mereka-mereka yang mensyirikkan-Nya. Dari hadith ini juga kita mendapati bagaimana adab para sahabat
berpegang pada perintah yang umum sehinggalah diturunkan perintah yang khusus
menandakan betapa teguhnya iman mereka dalam bersegera melaksanakan perintah
Allah tanpa banyak soal atau minta ditangguhkan perintah tersebut. Antara hukum-hukum yang dapat dikeluarkan dari hadith ini adalah mereka
yang melakukan maksiat tidaklah dikatakan atau dihukum mereka itu syirik selagi
mana tidak ada dalil atau bukti dari segi lafaz perkataan atau perbuatan mereka
yang mensyirikkan Allah. Adapun pendapat
Ahli Sunnah Wal Jamaah mengatakan mereka yang beriman yang melakukan maksiat mereka
akan dimasukkan ke dalam neraka mengikut kadar yang ditetapkan oleh Allah
kerana maksiat yang mereka lakukan dan akan dikeluarkan dari neraka dan
dimasukkan ke dalam syurga setelah tamat tempoh hukuman. Pembaca-pembaca yang dirahmati Allah sekelian, marilah sama-sama kita
memuhasabah diri kita dan bertaubat atas segala kesalahan kesilapan dan
kemaksiatan yang telah kita lakukan samada sedar atau tidak sebelum sampai ajal
kita yang mana pada ketika itu pintu taubat telah tertutup rapat. Memang benar kita sebagai manusia tidak akan
terlepas dari melakukan dosa maka marilah sama-sama kita mengingati hadith Rasululah
s.a.w : كلّ بني أدم خطّائون وخير خطّائين التوّابون Bermaksud: Setiap anak adam melakukan kesalahan maka sebaik-sebaik dikalangan yang
melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat.
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen. Powered by AkoComment 2.0! |
||
| Dikemaskini ( Khamis, 22 November 2007 ) | ||
