webspace hosting reseller hosting|             | blog| forum| dating| free hosting| openhost| report abuse
Internet Fax To Email - Unlimited

Unlimited Faxes, No Fees, Dedicated Phone Number

Free Website Templates
Menu Content/Inhalt
Utama arrow Syariah arrow Politik Islam arrow Pemerintahan Negara Dalam Islam : Penilaian Sudut Maqasid

Waktu Solat

Kaherah, Mesir
Sat 21st November
Subuh
Syuruk
Zohor
'Asar
Maghrib
Isyak

Log Masuk

Kata Nama

Kata Laluan

Ingatlah saya
Terlupa kata laluan anda?
Masih tiada akaun? Buatlah satu
Terima kasih kerana undian anda!
Pemerintahan Negara Dalam Islam : Penilaian Sudut Maqasid PDF Cetak E-mail
Kadaran oleh Pengguna: / 1
TerukBagus 
Ditulis oleh Amly Asenar   
Sabtu, 15 April 2006

1.0 Introduksi 

Keratan sejarah mencatatkan terdapat dua kuasa besar suatu ketika dahulu di bahagian Rom dan Parsi. Kekuatan dan kekuasaan kedua-dua belah negara amat ditakuti dan digeruni. Ketamadunan mereka menjadi kebanggaan. Kemudian muncul sebuah kuasa di tanah Hijaz yang dipimpini oleh seorang Nabi dan Rasul akhir zaman daripada bangsa Arab. Negara ini telah telah berjaya menggugat empayar yang telah dibina di Rom dan Parsi. Negara tersebut ialah negara Islam yang telah dibina oleh Rasulullah dan diteruskan oleh para sahabat. Penerusan mengurus dan mentadbir sebuah negara Islam ini diteruskan sehingga empayar khilafah berkembang sehingga menguasai 3 Lautan Utama pada ketika itu ialah Laut Putih, Hitam dan Merah. Namun sejarah kegemilangan ini telah pudar pada hari ini dengan tindak-tanduk pemerintahan di kebanyakan negara Islam yang tersasar jauh daripada landasan yang digariskan oleh Islam. Oleh itu, penulis cuba untuk berkongsi sudut kecil untuk memahami bagaimana pemerintahan sebuah negara menurut Islam iaitu sudut  maqasidnya.

2.0 Kesyumulan Islam

Bertitik tolak daripada kefahaman kesyumulan Islam akan membawa kita memahami bahawa pemerintahan negara itu bukan asing dalam Islam. Islam bukan sekadar agama yang menjurus kepada pengamalan  ruhaniah semata-mata dengan menitik beratkan persoalan ibadat seperti solat dan puasa.

Firman Allah : 

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ (٨٥)[1]

Maksudnya :

85. Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

 

Ulasan : Deen dalam ayat di atas adalah sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah. Barangsiapa yang menerima Islam secara sebahagian dan tidak keseluruhan akan termasuk dalam golongan yang dinyatakan oleh Allah dalam ayat berikut :

 

Firman Allah :

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ (٨٥) [2]

Maksudnya : 

85. Patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. 

Dr. Abdul Karim Zaidan[3] menggariskan secara lengkap perkara yang terkandung di dalam Islam bagi membuktikan betapa syumulnya (lengkap) Islam. Beliau menyatakan jenis-jenis hukum yang terkandung dalam Islam adalah seperti berikut :  

1. Akidah Islamiah : Berkaitan dengan perkara seperti keimanan kepada Allah

2. Akhlak : Berkaitan dengan sifat yang seorang muslim perlukan seperti bercakap benar

3. Perhubungan antara Allah dan hambanya : Berkaitan seperti solat, puasa 

4. Perhubungan sesama makhluk : Berkaitan seperti berikut : 

· Institusi kekeluargaan

· Muamalat seperti jual beli, sewaan

· Kehakiman, pendakwaan, saksi

· Bukan Islam yang datang ke negara Islam

· Hubungan dengan negara bukan Islam

· Pemerintahan seperti pemilihan ketua negara

5. Sumber hasil negara dan pengurusannya seperti perhubungan hartabenda negara dan rakyat, perhubungan antara kaya dan miskin

6. Jenayah : Berkaitan perhubungan antara negara dan rakyat sudut perkara yang dilarang dan pembalasan kepada pelanggaran hukum seperti qisas dan hudud

 

3.0 Kedudukan Pemerintahan dalam Islam 

Dr. Abdul Karim Zaidan[4] mengatakan : 

 "Pemerintahan dalam Islam adalah wasilah bukan matlamat utama. Wasilah ini penting sebagai penyampai kepada maqasid yang hanya mampu dilaksanakan oleh seorang ketua negara bukan orang kebanyakan". 

Kehidupan manusia tidak dapat dipisahkan antara golongan yang dipilih untuk menjadi pemimpin dan ketua dan golongan yang menjadi pengikut dan dipimpin. Islam menggunakan acuan ini bagi memastikan matlamat utama Islam meletakkan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi ini tercapai. Maka pemerintahan merupakan wasilah terpenting dan amat penting bagi mencapai matlamat itu tadi. 

4.0 Maqasid Pemerintahan dalam Islam 

Ulama' seperti al Mawardi dan Ibnu Khaldun memberikan takrifan Imamah atau Khilafah ialah: 

" Pengganti kepada tugas Nubuwwah bagi memelihara Deen

dan mentadbir dunia dengan Deen tersebut."

Maka di sini boleh dibahagikan maqasid terbesar yang hendak dicapai oleh Islam dalam pemerintahan ialah bagi : 

· Memelihara Islam

· Mentadbir dunia dengan panduan Islam

 

4.1 Pembahagian Tugas Berdasarkan Maqasid 

Setelah memahami kedudukan pemerintahan di dalam Islam dan maqasid yang yang hendak dicapai oleh Islam maka pelbagai pembahagian tugas bagi seorang ketua negara boleh digariskan bagi mencapai 2 maqasid terbesar tadi.  

Penulis membawa di sini 2 jenis pembahagian oleh 2 orang ulama' iaitu Dr. Abdul Karim Zaidan dan juga Syeikh Said Hawwa sebagai contoh yang boleh memberikan gambaran dalam pembahagian tugas ini. 

Dr. Abdul Karim Zaidan[5] menggariskan bagi mencapai maqasid pertama perlu kepada : 

· Penjagaan

· Perlaksanaan  

Bagi mencapai maqasid kedua perlu kepada : 

· Menjalankan keadilan

· Memastikan keamanan

· Menyediakan keperluan

· Melipatgandakan hasil bumi

 

Manakala Syeikh Said Hawwa[6] meletakkan seperti berikut : 

· Mendirikan syariat

· Memperkukuh hubungan dengan lapisan masyarakat

· Urusan peperangan

· Urusan taraf hidup rakyat

· Urusan keamanan

· Urusan kewarganegaraan dgn bukan Islam

· Urusan menghadapi pembangkang,pengkritik

· Urusan jenayah

· Urusan malapetaka

· Urusan utusan  

Jika dihalusi setiap pecahan yang digariskan oleh beliau,ia juga merupakan pembahagian pokok yang digariskan oleh Dr. Abd Karim Zaidan. Ini menggambarkan betapa luasnya skop bidang tugas yang ada dan ia merupakan amanah kepada setiap ketua negara Islam untuk melaksanakannya.  

Terperincinya Syeikh Said Hawwa, beliau meletakkan pembahagian tadi di bawah salah satu daripada 30 akhlak utama yang perlu ada pada setiap ketua negara dan akhlak ini dipanggil ilmu mentadbir. 30 akhlak !! Nescaya kepincangan yang berlaku kepada ketua negara Islam hari ini berpunca daripada kekurangan akhlak yang telah ditetapkan. Begitu juga sudah pasti hebatnya seorang ketua negara Islam itu bila dia dapat mempraktikkan ke 30 akhlak tersebut. Subhanallah !! 

Seterusnya kita akan melihat bidang tugas ini satu persatu menurut garis panduan Dr. Abdul Karim Zaidan sebagai kerangka asas dan penambahan seperti yang terdapat dalam garis panduan Said Hawwa. 

5.0 Maqasid Pertama : Memelihara Deen 

Deen yang dimaksudkan di sini ialah Islam secara keseluruhannya. Oleh itu, bagi memelihara Deen ini memerlukan kepada penjagaan dan perlaksanan seperti yang telah disebutkan. 

5.1 Penjagaan Deen 

Penjagaan yang dimaksudkan ialah : mengekalkan hakikatnya, menyebarkan kepada manusia seperti yang disampaikan oleh Rasulullah, menjaga daripada berlakunya penyelewengan daripada yang telah disampaikan oleh Rasulullah. 

Maka digariskan bidang tugas seperti : 

· Memelihara usul Islam

· Memantau golongan yang membuat syubhah kekeliruan kepada Islam.

· Memperkuatkan ketenteraan

· Menanamkan semangat jihad yang tinggi dalam jiwa rakyat. Persoalan jihad amat ditakuti oleh musuh Islam sehingga mereka sentiasa cuba untuk memesongkan pandangan terhadap konsep jihad yang sebenar. Ini dinyatakan seperti berikut : 

"Islam secara hakikatnya tiada di dalamnya jihad. Jihad Nabi bukan daripada risalah yang dibawa kerana jihad itu hanya untuk meluaskan kekuasaan".[7]

 

5.2 Perlaksanaan Deen 

Perlaksanaan ini berjalan dengan melaksanakan semua hukum Islam pada seluruh pengamalan manusia yang sudah pasti merangkumi dalam konsep Islam yang syumul seperti yang telah diterangkan. Dengan ini, masyarakat Islam akan dapat dipimpin dan dibimbing kepada acuan Islam yang dipaksikan dengan keimanan dan ketaatan kepada Allah dan diberikan pembalasan bagi mereka yang ingkar. 

Ini berdasarkan firman Allah :

صِبْغَةَ اللَّهِ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ (١٣٨)[8]

Maksudnya :

138. (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Ugama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat". 

Bagi memastikan acuan Islam yang harmoni yang membentuk masyarakat Qur'ani maka segala virus kerosakan dan parasit mungkar mesti ditentang dan dihapuskan dalam masyarakat.

6.0 Maqasid kedua : Mentadbir Dunia dengan Deen 

Islam tidak meminggirkan dunia. Oleh itu wasilah pemerintahan ini amat penting agar dunia ini dapat ditadbir seperti yang telah digariskan oleh penciptanya iaitu Allah. Tidak ada panduan yang lebih baik selain panduan al Quran dan Sunnah yang telah disampaikan oleh Rasulullah. Dengan panduan risalah ini negara Islam yang dibentuk oleh Baginda yang diteruskan oleh para sahabat telah berjaya meruntuhkan empayar jahiliah yang besar pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi. 

Musuh Islam hari ini cuba memasukkan jarum sekular kepada pemikiran umat Islam dengan membawa pemikiran pemisahan antara agama dan dunia. Selain itu, mereka mengatakan jika Islam memerintah maka akan membawa kepada negara agama yang skopnya sempit.  

Dr. Yusuf Qaradawi mengulas perkara ini dengan mengatakan : 

 "Penjajah telah berjaya membentuk pemikiran bahawa agama tidak ada tempat dalam pentadbiran negara, agama lain dan politik lain…" [9] 

Kerangka utama dalam mentadbir : 

· Menjalankan Keadilan

· Memastikan Keamanan

· Menyediakan Keperluan

· Melipatgandakan Hasil Bumi 

6.1 Menjalankan Keadilan 

Keadilan amat dituntut oleh Islam. Ini jelas seperti yang disebutkan dalam firman Allah : 

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا (٥٨)يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا (٥٩) [10]

Maksudnya :

58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. 

59. Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. 

Ayat 58 dan 59 menggambarkan bahawa amanah dan menghukum dengan adil adalah tanggungjawab utama ketua negara. Oleh itu, dengan perlaksanaan kewajipan tadi dan ketaatan mereka kepada Allah dan Rasul maka barulah rakyat memberikan ketaatan kepada ketua negara. 

Dr. Yusuf Qaradawi mengatakan : 

 "Dengan 2 ayat ini Syeikh Islam Ibnu Taimiah telah mengarangkan kitabnya bertajuk Siasah Syari'yyah fi Islah Ra'ie Wa Raieyah yang membahaskan isi dua ayat tadi" [11] 

Justeru, ketua negara juga perlu memastikan setiap perlantikan dalam jawatan negara adalah disandang oleh mereka yang berkelayakan dan amanah. Ini kerana mereka merupakan wakil ketua negara dalam urusan dengan rakyat dan ketidakmampuan mereka akhirnya akan memberikan ketidakpuashatian rakyat kepada ketua negara. 

Ini sejajar dengan firman Allah : 

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الأمِينُ (٢٦) [12]

Maksudnya :

26. Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang Kuat, lagi amanah".

 

Selain memastikan amanah dan berkelayakan, tugas memantau dan memerhatikan gerak kerja setiap jawatan di bawah negara perlu dilakukan. Ini bagi memastikan bahawa tidak berlaku penyelewangan yang boleh menzalimi rakyat dan menyebabkan rakyat marah dan negara tidak stabil. Kuasa yang diberikan tidak secara mutlak tetapi terikat dengan syariat Allah. 

Ini sejajar dengan firman Allah : 

يا دَاوُدُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الأرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ (٢٦) [13]

 

Maksudnya :

 

26. Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (Hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

Keadilan ini bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam yang bernaung di bawah kekuasan negara Islam.  

Berdasarkan firman Allah dalam surah al Mumtahanah : 

لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ (٨)

Maksudnya : 

8. Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. 

Said Hawwa mengulas dalam Urusan Kewarganegaraan dengan bukan Islam : 

 "Bila bukan Islam menepati janji maka perlu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka dan mempertahankan mereka".[14] 

6.2 Memastikan Keamanan 

Semua manusia menginginkan keamanan. Keamanan perlu menyeluruh kepada semua yang berhak berada di bawah sebuah negara Islam. Antara yang perlu dilaksanakan dan dijalankan ialah perundangan jenayah yang akan memastikan hukuman bagi mereka yang cuba menggugat keamanan menurut perspektif Islam. 

Said Hawwa mengulas dalam Urusan Keamanan : 

 "Keutamaan yang besar perlu diberikan kepada keamanan. Keamanan ini termasuklah keamanan ketua negara, pemerintahan dan rakyat. Maka akan termasuk di dalamnya banyak perkara seperti polis, perisik, kehakiman yang adil, hukuman…"[15] 

Beliau mengulas dalam Urusan Jenayah : 

 "Hukuman dilakukan dengan kadar yang diperlukan untuk memperadabkan tanpa melampau kepada kezaliman dan tidak mengambil mudah perkara hudud dan qisas. Syariat telah memberi pilihan yang banyak kepada ketua negara dalam ta'zir bagi menghukum golongan fasik, melakukan maksiat begitu juga meilzamkannya mendirikan hudud dan qisas…"[16]

 

6.3 Penyediaan Keperluan

Setiap negara mempunyai pelbagai sektor yang boleh dikembanggiatkan bagi memenuhi tuntutan dan keperluan rakyat. Usaha ini perlu bagi memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat dan juga menjalani kehidupan dengan keperluan yang mencukupi. 

Ini boleh dinyatakan seperti berikut : 

· Penyediaan peluang kerja

· Mencambahkan industri

· Meningkatkan tahap keilmuan 

Usaha-usaha ini dalam persoalan hukum merupakan fardu kifayah yang amat penting.  

Berkata A'llamah Ibnu Abidin dalam kitabnya Raddul Mukhtar A'la Durril Mukhtar : 

 "Merupakan fardun kifayah bagi penyediaan tempat pengeluaran (kilang) yang diperlukan".[17] 

Said Hawwa mengulas dalam Urusan Taraf Hidup : 

           "Ini merupakan perkara yang diambil berat oleh manusia dan sebagai penimbang, siapa yang gagal maka sukar mendapatkan istiqamah manusia untuk menyukai dan memberi ketaatan".[18]

 

6.4 Mengusahakan Hasil Bumi 

Allah menjadikan bumi ini penuh dengan hasil yang boleh diusahakan bagi kemanfaatan manusia bersama.  

Firman Allah : 

وَهُوَ الَّذِي أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا مِنْهُ خَضِرًا نُخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِنْ طَلْعِهَا قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ انْظُرُوا إِلَى ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ إِنَّ فِي ذَلِكُمْ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٩٩) [19]

99. Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu Segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman. 

Maka sudah pasti sebagai ketua dalam negara Islam mengusahakan dan melipatgandakan hasil agar dapat dinikmati oleh rakyat dan digunakan bagi manfaat rakyat bersama. Sikap ini telah digambarkan oleh Khalifah Harun Ar Rasyid yang meminta semua pakar kejuruteraan dan ulama' berkumpul bagi menyediakan plan pengaliran yang hendak dibuat bagi menyuburkan tanah Kharaj (cukai kepada tanah yang dibuka oleh orang Islam). Dalam usaha ini Imam Abu Yusuf telah mengarang kitab berkenaan Kharaj bagi keperluan negara.[20]

 

7.0 Konklusi 

Sudah pasti jelas bagi kita betapa besarnya maqasid yang hendak dicapai oleh Islam melalui pemerintahan. Melalui wasilah pemerintahan begitu banyak tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang ketua negara bersama ahli kabinetnya.  

Adalah amat malang jika sebuah negara Islam itu diperintahkan dengan ketua negara yang tidak memiliki akhlak pentandbiran ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Said Hawwa dalam 30 Akhlak bagi seorang ketua negara. 

Harapan agar para ulama' sedar akan kepentingan tanggungjawab ini dan menjadikan agenda bagi memastikan negara mereka mempunyai kepimpinan yang berakhlak. Kelalaian ulama' dalam memastikan adanya mereka yang layak menjadi ketua negara dan memastikan mereka berakhlak dengan akhlak yang telah ditetapkan akan mengakibatkan kepincangan dan kerosakan dan sudah pasti Islam tidak dapat dipelihara dengan baik dan dunia menjadi sarang kemaksiatan. 

Bangunlah generasi hari ini bagi mendepani cabaran yang cukup besar. 

والله من وراء القصد وعليه توكلت وإليه أنيب

وما أريد الا الإصلاح وما توفيقى الا بالله

 الفقير إلى الله

 

Amly Asenar

Abu kinanah

BA Syariah dan Undang-Undang

Jabatan Syariah Islamiah

Universiti Al Azhar As Syariff

Cawangan Tanta

 

Penuntut

Darul Ifta' Al Misriah

Mesir



[1]Surah Ali Imran : 85 

[2]Surah Al Baqarah : 85 

[3]Abdul Karim Zaidan (Dr.), Usul Dakwah, Beirut, Muassasah Risalah, Cet.9, 2001 M – 1421 H, Hal.53 

[4]Ibid. Hal. 230 

[5]Lihat : Ibid.  

[6]Said Hawwa, Fusulun fil Amrah Wal Amir, Kaherah, Darul Salam, Cet.2, 1994 M – 1415 H, Hal.71 

[7]Muhammad Diya'uddin Riss (Dr.), Islam Wa Khilafah fil Asril Hadis, Kaherah, Darul Turath, Hal. 271 

[8]Surah Al Baqarah : 138

[9]Yusuf Qaradawi (Dr.) Min Feqh Daulah Fil Islam, Kaherah, Darul Syuruq, Cet.1, 1997 M – 1417 H, Hal. 13 

[10]Surah Al Nisa' : 58-59 

[11]Ibid. Hal. 15 

[12]Surah Al Qashas : 26 

[13]Surah As Sod : 26 

[14]Said Hawwa, Op.Cit. Hal. 75 

[15]Ibid. 

[16]Said Hawwa, Ibid. Hal.77 

[17]Abdul Karim Zaidan (Dr.), Op.Cit. Hal. 235 

[18]Said Hawwa, Op.Cit. Hal.75 

[19]Surah Al An'am : 99 

[20]Abdul Karim Zaidan (Dr.), Op.Cit. Hal. 236 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ruangan Komentar
1. Makalah yang baik
Ditulis oleh Tajdid Moden pada Khamis, 15 November 2007
Makalah yang baik. Boleh tahan juga Us Amly ni

Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen.
Sila login atau daftar.

Powered by AkoComment 2.0!

Dikemaskini ( Isnin, 14 Ogos 2006 )