| Maulud Nabi Hanya Sekadar Sambutan… |
|
|
|
| Sumbangan oleh Muhamad Hakimi Bin Hussain | ||
| Selasa, 18 April 2006 | ||
|
Segala puji bagi Allah Tuhan pentadbir sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad saw, penghulu segala nabi, ketua para mujahidin dan rasul utusan Rabbul Jalil. Aku bukan yang terbaik dikalangan umatmu, aku juga bukan seorang pejuang agung wahai Rasulullah, namun, ku punya jiwa untuk membela agama dan sunnahmu wahai pesuruh Allah…
12 Rabiul Awal detik bersejarah… Isnin, 12 Rabiul Awal detik paling bermakna bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia. Memberi pelbagai erti dan mengingatkan mereka jerih perih seorang nabi junjungan mulia yang cukup payah menyebarkan agama suci,- ISLAM -. Kelahiran nabi membina reformasi baru dalam kehidupan masyarakat arab jahiliyah ketika itu. Kaum Hawa di zaman jahiliyah di anggap seperti sampah sarap, tidak di hiraukan malah diperlakukan seperti binatang. Tugas wanita ketika itulah hanyalah sebagai hamba malah lebih teruk lagi hanya sebagai tempat kaum lelaki untuk melempiaskan nafsu serakah mereka. Anak-anak lelaki dibiarkan hidup malah diberikan tempat yang cukup selesa di dalam masyarakat manakala anak-anak perempuan ditanam dan dibunuh hidup-hidup kononnya mereka membawa sial, mengundang kecelakaan dan malapetaka dalam hidup mereka. Masyarakat ketika itu hidup dalam kegelapan tanpa ada cahaya yang memberikan sinar baru kepada mereka. Bagi merela dunia hanyalah tempat untuk mereka beseronok dan bergembira. Bukankah telah ada para nabi yang membawa risalah suci dari Ilahi? Mereka tolak risalah itu secara membabi buta, mereka tuduh para nabi pendusta, penipu, pembohong malah lebih teruklagi mereka sanggup membunuh para nabi ini semata-mata kerana mereka menganggap para nabi ini membawa risalah yang menyalahi ajaran datuk nenek mereka. Apakah mereka tidak berfikir, berhala-berhala yang mereka ukir daripada batu itu tidak mampu untuk memberi manfaat dan mudharat kepada mereka? Adakah mereka tidak mengerti dan memahami bahawasanya berhala-berhala tersebut hanyalah makhluk seperti mereka juga? Alangkah baiknya jika akal-akal mereka ini digunakan untuk memakmurkan bumi Allah ini. Hari ini, 12 Rabiul Awal merupakan detik penting dan bermakna bagi Aminah. Mengapa Aminah? Kemana perginya Abdullah? Kerana pada waktu itu hanya Aminah sahaja yang sempat untuk menyambut kelahiran bayi mulia itu. Abdullah tidak kemana-mana, beliau hanya beristirehat di pangkuan tuhannya. Tuhan lebih menyayangi Abdullah. Muhammad.. ya, Muhammad, nama yang diberikan kepada bayi suci itu. Yang terpuji.. cantik bukan namanya? Ya, sungguh cantik. Secantik sinar yang bakal dipancarkan. Tetapi.. tidak lama selepas itu, Aminah pula yang menghilangkan diri. Ibu.. kemana dan dimana ibu? Ibumu juga telah pergi bertemu dengan tuhanmu. Ketika itu, Muhammad menjadi yatim piatu, tak berayah dan beribu. Muhammad menjalani hidupnya seperti biasa sebagaimana manusia yang lain. Semakin hari, Muhammad bertambah dewasa. Dari zaman kanak-kanak Muhammad melangkah ke alam remaja. Dikala itu Muhammad membantu pakciknya berniaga. Muhammad diberikan gelaran Al-Amin. Al-Amin? Mengapa? Kerna sifat jujur dan keindahan budi pekertinya Muhammad diberikan gelaran itu. Muhammad tidak pernah menipu, Muhammad juga tidak pernah meminum arak. Muhammad pemuda yang baik. Buah yang baik pasti dipetik, manusia yang baik juga pasti dirisik. Khadijah tertarik dengan keindahan budi pekerti Muhammad. Maisarah dihantar untuk mewakili dirinya untuk merisiknya. Khadijah binti Khuwailid. Anak seorang bangsawan. Seorang peniaga yang cukup beraya. Tapi Muhammad... tak punya apa-apa. Bukan itu ukuran Khadijah. baginya akhlak yang mulia agenda utamanya. 25 tahun.. usia yang cukup muda jika nak dibandingkan dengan Khadijah.. 40 tahun. Muhammad diberikan tanggungjawab baru. Nabi kini dibebani dengan tugas yang baru. Diamanahkan untuk menyampaikan risalah agama tauhid kepada masyarakat Arab Jahiliah pada ketika itu. Namun, amanah tersebut dilaksanakan dengan penuh rasa kehambaan kepada Allah swt. Walaupun banyak tentangan yang baginda hadapi, hasil tarbiah daripada Allah swt baginda mampu untuk thabat dan istiqamah untuk meneruskan kerja dan misi dakwah baginda. Cukuplah bagi beliau Allah menemani dan sokongan daripada Khadijah juga memberikan impak yang besar istiqamahnya nabi dalam menyampaikan dakwah islam yang suci ini. Usia nabi kini menjangkau 40-an. Nabi diberi kepercayaan oleh Allah swt untuk menjadi rasul dan memegang wahyu daripada Allah swt. Tugasnya tetap sama, bezanya cuma bebanan yang dihadapi oleh nabi semakin berat memandangkan baginda seorang yang 'ummiy' - tidak tahu membaca dan menulis-. Nabi diperintakan untuk ke gua Hira'. Arahan tersebut diterima dan dilaksanakan oleh nabi tanpa banyak persoalan. Sekian lama nabi beruzlah, tibalah satu ketika nabi mendengar satu suara memerintahkan baginda untuk membaca. "Bacalah dengan nama Tuhanmu!" perintah suara tersebut. "Tidak, aku tidak tahu membaca" balas nabi. Kali ini nabi dipeluk erat oleh makhluk ghaib yang cukup aneh bagi nabi. Hinggalah untuk kali yang ketiga, nabi mampu untuk mengulangi bacaan itu. "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya". Setelah selesai semuanya, nabi berlari menuruni gua Hira' dan setibanya dirumah nabi menyuruh Khadijah menyelimuti baginda. "Selimutikan aku, selimutikan aku, selimutikan aku" perintah nabi. Khadijah dengan posisinya sebagai isteri kepada seorang nabi cuba menenangkan baginda. Hari ini… Denmark cuba untuk menjadi wira. Kuasa-kuasa barat mula menunjukkan taringnya. Fikir mereka, umat Islam kini lemah dan tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Hinalah nabi mereka, bunuhlah saudar-saudara mereka. Mereka hanya mampu menangis dan merayu kepada kita. Mereka juga tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dimana pewaris para nabi? "UMMATI.. UMMATI.. UMMATI.. hanya tinggal kenangan. Hanya sekadar ungkapan para guru dan penceramah dihari perayaan Maulud Nabi. Umat Muhammad kini semakin lemah. Dimana silapnya dan dimana puncanya? Hei umat Muhammad! mereka menghina nabi kamu! Mereka pakaikan nabi dengan serban berbentuk bom. Mereka gambarkan nabi kamu dengan gambaran BABI yang menulis al-quran! Sungguh biadap mereka ini!! Dimana kekuatan pewaris nabi? Kehebatan Islam kini dicabar. Apakah kita mahu mengaku yang memang kita ini lemah? Kalau ikutkan hati mahu sahaja ku bunuh mereka yang menghina nabiku. Ah!!! sekadar luahan dihati.. Mana praktikalnya? Sunnah nabi kau tinggalkan, kitab-Nya kau persendakan. Engkau kata Kitab dan sunnah ini sudah ketinggalan zaman, sekarang zaman moden! Islam di zaman moden inilah Islam yang diperjuangkan oleh para nabi sebelum daripada ini. Adakah Islam di zaman nabi dulu berlainan dengan Islam yang berada di zaman moden ini? Tidak! Islam itulah Islam yang ada sekarang ini. Setiap tahun kita meraikan Maulud Nabi. Dimanakah kesannya? Adakah cukup sekadar laungan selawat dan cogankata di sepanduk-sepanduk dan perarakan-perarakan di jalan-jalan raya? Fikirkan sendiri... Wahai umat Islam! kita sudah terlalu jauh terpesong dengan ajaran yang dibawa oleh nabi, kembalilah... Perjuangkahlah sunnah dan praktikkanlah ajaran daripada kitab-Nya. Cukuplah dengan keseronokan yang kita nikmati sekarang ini. Aku percaya, nabi tentu akan sedih melihat kelakuan umatnya sekarang. Umat yang diharapkan mampu untuk menjadi seperti Abu Bakar yang membenarkan semua apa yang datang daripada nabi. Seumpama Umar yang cukup garang dan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan nabi dan ajarannya. Dimanakah para warasatul anbiya' yang diharapkan? Bangunlah untuk kali ini, perjuangkan agama dan ajaran tuhanmu. Aku percaya dan yakin syurga menanti kehadiranmu wahai pejuang agama Allah. Berjuanglah selagi belum sampai waktu yang dijanjikan oleh Tuhanmu kerana disana pasti menunggu ganjaran dan balasan yang setimpal untuk mereka yang benar-benar ikhlas memperjuangkan agama yang satu... ISLAM... Maafkan aku Ya Allah… Aku juga bercita-cita untuk menjadi pejuang agama-Mu Ya Allah Realitikan cita-citaku… Aku juga terlalu ingin mengikuti jejak langkahmu wahai pesuruh Allah… Berikan aku kekuatan Ya Allah… Terimalah sedikit cebisan daripada hamba-Mu, tanda cintaku pada Nabi-Mu… Terimalah Ya Allah…
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen. Powered by AkoComment 2.0! |
||
| Dikemaskini ( Khamis, 22 November 2007 ) | ||
