| Turunnya Al-Quran Dalam Tujuh Huruf |
|
|
|
| Ditulis oleh Zaidul Amin Suffian Ahmad | ||
| Ahad, 23 April 2006 | ||
|
“Sesungguhnya Kami
menurunkan Kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa arab, supaya kamu
(menggunakan akal untuk) memahaminya” Yusuf : 2 Penurunan wahyu yang
pertama dimulai dengan ayat pertama dari surah al-Alaq pada akhir bulan
Ramadhan dan diakhiri dengan ayat ke-281 dari surah baqarah, sembilan malam
sebelum Rasulullah s.a.w wafat. Keseluruhan
proses penurunan wahyu ini memakan masa selama lebih kurang 23 tahun. Al-quran seperti mana
yang diketahui adalah berbahasa Arab diturunkan pada peringkat awal kepada
bangsa Arab melalui Nabi Muhammad s.a.w dari kalangan Arab. Apa yang menjadi persoalan disini mengapakah
bahasa arab dipilih menjadi bahasa al-quran? Apakah kelebihan bahasa ini sehingga mampu menjadi “pelemah” kepada hujjah-hujjah
musuh-musuh Islam? Jika dikaji
permasalahan ini secara mendalam tentu kita akan mendapati beberapa hikmah dan kelebihan
yang ada pada bahasa ini, cuma apa yang ingin dibawa oleh penulis hanyalah
secebis dari kelebihan-kelebihan yang ada pada bahasa ini. Dalam pengkajian
ilmu-ilmu al-Quran atau lebih dikenali dengan ulum quran terdapat satu bab yang
dikaji dan dikarang oleh ulama’-ulama’ tafsir yang dinamakan “Al-Quran
Diturunkan Dalam Tujuh Huruf” (نزول القران على سبعة أحرف) berdasarkan kepada hadith Imam Bukhari dan Muslim yang
diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. yng bermaksud, “Telah bersabda baginda
Rasulullah s.a.w: Jibril telah membacakan kepadaku al-Quran dengan satu huruf
kemudian aku mengulang-ulangnya, kemudian aku minta ditambahkan (huruf), maka
ditambahkan kepadaku hingga menjadi tujuh huruf”. Berdasarkan hadith ini
para ulama’ telah berselisih kepada 35 pendapat dalam mentafsirkan makna ‘tujuh
huruf’ di dalam hadith tadi. Akan tetapi
kebanyakan dari pendapat-pendapat ini dilihat hampir sama maka mereka telah
meringkaskan kepada enam pendapat atau pandangan sahaja : Pendapat pertama
berpendapat yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah tujuh bahasa dari bahasa
arab yang membawa makna yang satu. Bermaksud, ada diantara ayat-ayat di dalam al-Quran yang boleh dibaca
dengan tujuh jenis perkataan yang berbeza dari segi bacaan dan ejaan tetapi
mempunyai makna yang sama. Pendapat kedua pula
mengatakan apa yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah tujuh bahasa dari
bahasa arab yang digunakan oleh al-Quran. Tujuh bahasa ini ialah Quraisy, Huzail, Thaqif, Hawazin, Kinanah, Tamim
dan Yaman. Pendapat ketiga
mengatakan yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah tujuh bentuk ayat yang
terkandung di dalam al-quran iaitu ayat yang berbentuk suruhan, larangan, janji
baik, janji buruk, cerita, perumpamaan dan perbalahan. Pendapat keempat, tujuh
huruf tersebut ialah tujuh bentuk perubahan yang ada dalam al-Quran :
والذين هم لأماناتهم وعهدهم
راعون Kalimah ( لأماناتهم ) yang dibaca dengan lafaz jama’
dibaca dengan lafaz mufrad ( لأمانتهم ) .
Contoh : (ماهذا بشراً) dibaca
oleh jumhur ulama’ dengan nasab. Manakala Ibnu Mas’ud membaca dengan rafa’ (ماهذا بشرٌ)
Contoh
: Kalimah
(يعلمون)dibaca dengan (تعلمون) dan kalimah (الصراط) dibaca
dengan (السراط) pada
firman Allah (اهدناالصراط المستقيم)
Contoh
: Kalimah
(أفلم
يايئس) dibaca dengan (أفلم يأيس)
Contoh
: Ayat (كالعهن المنفوش) diganti dengan (كالصوف المنفوش) sepertimana yang dibaca oleh Ibnu Mas’ud. Ada juga ayat yang digantikan hurufnya kerana
makhrajnya yang berhampiran seperti fiman Allah : (وطلح منضود) dibaca dengan (وطلع منضود).
Contoh
: Ditambah
bacaan pada firman Allah (وأعد لهم جنات تجري تحتها الأنهار) dibaca
oleh Ibnu Kathir dengan menambah kalimah (من) maka dibaca dengan ((من تحتها الأنهار. Contoh
lain pada firman Allah (وماخلق الذكر والأنثى) dibaca dengan dikurangkan bacaan dengan membuang ayat (وماخلق) maka hanya dibaca (الذكر والأنثى). Ibnu
Abbas membaca firman Allah (وكان أمامهم ملك يأخذ كل سفينة صالحة غصباً) dengan menambahkan
kalimah (صالحة) dan menggantikan kalimah (أمام) dengan kalimah (وراء) sebagaimana yang dibaca
oleh jumhur ulama’ (وكان وراءهم ملك يأخذ كل سفينة غصبا).
Contoh
: Dibaca
dengan imalah pada kalimah (أتى) dan (موسى) pada
firman Allah (وهل أتاك حديث موسى). Menipiskan bacaan pada
huruh ra’ pada firman Allah (خبيراً بصيراً). Menebalkan bacaan pada lam pada (الطلاق). Membaca dengan tashil hamzah pada firman
Allah (قد
أفلح). Mengisymamkan ghain dengan dibaca baris
hadapan dan bawah pada firman Allah (وغيض الماء). Pendapat kelima, sebahagian
ulama’ berpendapat tujuh huruf tidak membawa sebarang maksud, bahkan ia
seolah-olah sebagai satu simbul kepada kesyumulan al-Quran. Ia juga sebagai satu isyarat bahawa al-Quran
dari segi bahasanya balaghahnya mengatasi bahasa-bahasa lain yang ada di dunia
ini. Digunakan lafaz tujuh sebagai satu
kiasan kepada kesempurnaan dan kesyumulan al-Quran kerana tujuh lebih banyak
dari satu. Pendapat keenam, mereka
berpendapat yang dimaksudkan dengan tujuh huruf ialah qiraat tujuh. Berdasarkan keenam-enam pendapat
yang telah disebutkan tadi kebanyakan ulama’ telah berpendapat pendapat yang
paling rajih ialah pendapat yang pertama bersandarkan kepada hadith yang telah
disebutkan pada permulaan perbahasan ini, disokong pula oleh beberapa hadith
yang tidak sempat dikemukakan oleh penulis kerana dikhuatiri akan menjadi lebih
panjang berbahasan ini. Bagi menjawab pendapat
kedua yang mengatakan tujuh huruf bermaksud tujuh bahasa yang ada dalam
al-Quran ditolak kerana bahasa arab tidak hanya tertakluk kepada tujuh bahasa
sahaja bahkan lebih dari itu. Bahkan
dalam hadith yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Muslim hadith yang
diriwayatkan dari Umar Al-Khattab menceritakan beliau mendengar Hisyam bin
Hakim membaca surah al-Furqan dengan bacaan yang tidak dibacakan oleh nabi
kepadanya. Kemudian beliau berjumpa
dengan Hisyam dan bertanya dari mana Hisyam meriwayatkan bacaan tadi, Hisyam
menjawab dari Rasulullah s.a.w. Lantas
Umar menjawab kamu berbohong. Kemudian
mereka bertemu dengan Rasulullah s.a.w mengadu hal tersebut. Setelah Rasulullah mendengar bacaan
kedua-duanya maka Rasulullah s.a.w bersabda kedua-dua bacaan mereka adalah
sepertimana yang diturunkan dan sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam
tujuh huruf. Berdasarkan hadith ini
kita mendapati Umar Al-Khattab dan Hisyam kedua-duanya adalah berbangsa arab
Quraisy yang menggunakan bahasa dan lahjah yang sama, adalah mustahil saidina
Umar tidak tahu lahjah bangsanya sendiri sekiranya benar tujuh huruf itu
bermaksud tujuh bahasa arab yang ada dalam al-Quran. Untuk menjawab pendapat
yang ketiga yang mengatakan tujuh huruf bermaksud tujuh bentuk ayat yang
terkandung di dalam al-quran iaitu ayat yang berbentuk suruhan, larangan, janji
baik, janji buruk, cerita, perumpamaan dan perbalahan, zahir hadith telah menunjukkan
bahawa yang dikehendaki dengan tujuh huruf ialah sesuatu kalimah itu dibaca
samada dengan dua atau tiga hingga tujuh wajah bacaan mengikut kehendak dan
kemampuan kerana adalah mustahil bagi satu ayat yang mengandungi perintah suruhan
contohnya kemudian di dalam ayat yang sama juga terkandung larangan dan
begitulah sebaliknya. Bagi menjawab pendapat
yang keempat, walaupun dilihat dari satu sudut ada kebenarannya pendapat ini
tetapi jika diteliti akan hadith yang dikemukakan pada awal perbahasan ini kita
akan mendapati pendapat ini tidak selari dengan kehendak maksud hadith kerana sesetengah
ikhtilaf dan perubahan bacaan mengikut
pendapat ini (sebagaimana yang telah diterangkan di atas) bersandarkan kepada
dalil-dalil ahad, telah menjadi kesepakatan ulama' setiap apa yang berkaitan
dengan al-Quran hendaklah bersandarkan kepada dalil-dalil yang mutawatir. Selain itu kebanyakan ikhtilaf-ikhtilaf yang
disebut oleh mereka tidaklah menunjukkan sebarang perubahan pada kalimah, cuma
sekadar perubahan dari segi baris, wajah bacaan, i'rab, tasrif dan perubahan
kedudukan ayat yang didahulukan dan dikemudiankan. Untuk pendapat kelima,
cukuplah hadith pada permulaan perbahasan ini menjadi hujjah menjawab pendapat
ini. Menjawab pendapat keenam,
al-Quran bukanlah qiraat kerana al-Quran ialah wahyu yang diturunkan kepada
nabi Muhammad s.a.w sebagai penerangan dan peringatan, sedangkan qiraat ialah
ikhtilaf pada cara sebutan dan bacaan pada lafaz wahyu (al-Quran) samada dari
segi menipiskan, menebalkan bacaan atau seumpama dengannya. Secara kesimpulannya
pendapat pertama adalah yang paling rajih berdasarkan kepada dalil-dalil yang
telah disebutkan. Jika ditanya adakah
tujuh huruf ini masih wujud? Maka
dijawab oleh sebahagian ulama’ bahawa tujuh huruf ini sudah dihazafkan
penggunaanya pada masa sekarang oleh khalifah Uthman ketika beliau mengarahkan
al-Quran ditulis semula kerana pada masa itu berlaku perselisihan pendapat yang
amat dasyat dalam bacaan al-Quran sehingga ada dikalangan mereka yang
mengkafirkan antara satu sama lain. Bagi
mengelakkan musibah ini berleluasa maka khalifah Uthman memerintahkan al-Quran
ditulis dan dibukukan semula dengan dipilih bacaan yang paling kuat sanadnya
dan paling masyhur digunakan oleh Rasulullah s.a.w., dari riwayat bacaan tujuh
huruf ini tadi hanya satu yang dipilih dan ditulis dan ianya menjadi bacaan
kita hinnga masa sekarang dan akan datang. Diharapkan agar perbahasan ini dapat memberi faedah kepada semua dalam
memahami ilmu-ilmu al-Quran. Wallahu a'lam. Rujukan: 1. Al-Quran. 2. Fathul Bari Imam ibnu
Hajar syarah kepada Sohih Bukhari. 3. Perbahasan Imu-ilmu
Al-Quran : Manna' Qattan 4. Manahil I'rfan fi ulumil
quran : Muhammad Abdul Azim Az-Zarqani
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen. Powered by AkoComment 2.0! |
||
| Dikemaskini ( Khamis, 22 November 2007 ) | ||
