webspace hosting reseller hosting|             | blog| forum| dating| free hosting| openhost| report abuse
Internet Fax To Email - Unlimited

Unlimited Faxes, No Fees, Dedicated Phone Number

Free Website Templates
Menu Content/Inhalt
Utama arrow Syariah arrow Feqh Am arrow Asnaf Zakat (Golongan Penerima Zakat)

Waktu Solat

Kaherah, Mesir
Sat 21st November
Subuh
Syuruk
Zohor
'Asar
Maghrib
Isyak

Log Masuk

Kata Nama

Kata Laluan

Ingatlah saya
Terlupa kata laluan anda?
Masih tiada akaun? Buatlah satu
Asnaf Zakat (Golongan Penerima Zakat) PDF Cetak E-mail
Kadaran oleh Pengguna: / 1
TerukBagus 
Ditulis oleh Suryani Masnan   
Jumaat, 30 Jun 2006

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taubah ayat 60 yang bermaksud : "Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang faqir, dan orang-orang miskin, dan 'amil-'amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." ([1])

 

Berdasarkan ayat di atas, Islam telah menetapkan secara pasti bahawa terdapat 8 golongan yang berhak menerima harta zakat yang dikutip. Mereka ialah golongan fakir, miskin, para pengurus zakat, muallaf, untuk membebaskan hamba, orang-orang yang menanggung beban hutang, perjuangan di jalan Allah dan orang musafir. Ketetapan pasti ini tidak membuka ruang sedikit pun selama-lamanya kepada pihak pemerintah yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus harta zakat untuk melakukan ijtihad bagi menambah kategori baru penerima zakat.

 

Dr. Rif'at al-'Awadhi, seorang pensyarah dan pakar ekonomi dari Universiti al-Azhar menyatakan rahsia di sebalik ketetapan tersebut dalam buku beliau al-Nizam al-Mali Fil Islam ([2]) : "Zakat merupakan satu institusi yang dapat memenuhi semua hajat manusia di dunia ini dan di sepanjang zaman. (Sekiranya diteliti) penetapan 8 golongan dalam surah al-Taubah (yang disebutkan di atas) merangkumi semua hajat manusia sepanjang zaman."

 

Di sini dibentangkan definisi ulama-ulama terdahulu mengenainya secara ringkas :

 

1. Fakir dan Miskin

 

1. Imam Hanafi: Adalah orang yang tidak memiliki nisab zakat. Dan orang miskin lebih teruk keadaannya daripada orang fakir ([3]).

2. Maliki, Syafie dan Hanbali : Golongan yang tidak memiliki harta atau sumber pendapatan yang mencukupi bagi sara hidup dirinya sendiri dan tanggungan yang berada di bawahnya ([4]). Bagi Imam Syafie dan Hanbali, orang fakir lebih teruk keadaannya daripada orang miskin, sementara Imam Malik, berpendapat seperti Imam Hanafi di atas.

3. 'Amil zakat

 

 Semua kakitangan yang terlibat dengan pentadbiran dan pengurusan zakat, sama ada sebagai pegawai pengurusan atau kakitangan sokongan pada setiap peringkatnya.

 

 

4. Muallaf

 

1. Syafie ([5]) :Orang yang baru memeluk agama Islam.

2. Mazhab lain : Terdapat beberapa kategori individu yang boleh diberi maksud sebagai muallaf dalam surah al-Taubah ini. Dr. Yusuf al-Qardhawi menyimpulkannya kepada 6 pihak ([6]) :

1. Mereka yang diharap akan menerima Islam apabila menerima sumbangan zakat.

2. Mereka yang diharap tidak akan mengganggu kedudukan Islam apabila menerima sumbangan zakat.

3. Mereka yang baru memeluk Islam, agar dengan pemberian itu pendirian mereka lebih kukuh.

4. Para pemimpin kaum Islam yang dengan pemberian seperti itu boleh menjadikan para pemimpin kaum yang belum memeluk Islam tertarik untuk melakukannya.

5. Para pemimpin yang lemah iman dan pendirian keIslamannya, agar pemberian zakat tersebut boleh memperkukuhkan lagi keIslaman mereka sendiri dan juga para pengikut mereka.

6. Mereka yang dengan pengaruh dan kekuatan yang ada boleh membantu melancarkan pungutan zakat di kalangan mereka yang tidak mudah membayarnya melainkan dengan menggunakan kuasa.

 

 

5. Fi al-Riqab (Pembebasan Hamba Abdi)

 

 Pada dasarnya, pembebasan hamba di sini memberi makna dalam bentuk yang klasik. Hal ini kerana, dalam masyarakat permulaan Islam, sistem perhambaan masih lagi diwarisi dari zaman-zaman terdahulu. Golongan ini adalah sebagai satu sumbangan untuk menamatkan sistem dan amalan perhambaan manusia yang diamalkan di seluruh dunia pada masa itu secara perlahan-perlahan.

 Mengikut pendapat terbanyak para fuqahak, sumbangan zakat boleh dibuat sama ada dengan membantu mana-mana hamba yang diberi peluang untuk menebus diri oleh tuannya, atau dengan terus membeli hamba tersebut untuk dibebaskan bagi mereka yang tidak menerima tawaran seperti tersebut daripada tuannya ([7]).

 

 

6. Al-Gharimin

 

 Pada pandangan kebanyakan para fuqahak, orang-orang berhutang dalam ayat ke 60 ([8]) ini ialah dalam bentuk apa sekalipun. Walau bagaimanapun, Imam Abu Hanifah mensyaratkan, seseorang yang berhutang itu mestilah tidak memiliki harta dalam kadar yang boleh dikenakan zakat ke atasnya ([9]). Dalam mazhab Syafie pula, ada riwayat yang mengatakan bahawa zakat akan diberikan juga walaupun seorang yang berhutang itu dianggap berada ([10]). Namun, pemberhutangan itu mestilah dilakukan bagi tujuan-tujuan yang halal dan hutang tersebut telah sampai tempoh pembayarannya ([11]). Walau bagaimanapun, para fuqahak lebih sependapat bagi hutang yang dibuat kerana faedah awam atau masyarakat, seperti menghapuskan persengketaan antara dua belah pihak dan sebagainya ([12]).

 

 

7. Fi Sabilillah

 

1. Syafie dan Maliki ([13]): Mendefinisikan sebagai orang yang berperang pada jalan Allah melawan seteru atau jihad dalam pengertiannya yang khusus. Secara lebih terperinci lagi, mereka adalah para tentera sukarelawan yang tidak mengambil upah atau gaji dari pemerintah.

2. Abu Hanifah (salah satu riwayat): Memberi pengertian yang lebih meluas iaitu apa saja bentuk ketaatan dan pendekatan diri terhadap Allah ([14]).

3. Hanbali dan Hanafiah (dalam riwayat yang lain dari Abu Yusuf): Orang yang mahu ikut berperang tetapi tidak mahu menyediakan senjata ([15]).

 

 

8. Ibn Sabil (Orang-orang musafir)

 

1. Syafie : Orang-orang yang sedang dalam perjalanan dan terputus bekalan harta yang dapat menampung perjalanannya, dan juga bagi mereka yang ada niat untuk bermusafir ([16]).

2. Mazhab lain : Orang-orang yang sedang dalam perjalanan sahaja diiktibar sebagai ibn sabil yang berhak menerima zakat.

3. Hanbali menambah : Sesiapa sahaja musafir tidak kira kaya atau miskin ([17]).

 

 Para fuqahak sependapat bahawa, perjalanan tersebut bukanlah atas dasar maksiat dan zakat yang diberikan adalah untuk mereka dapat pulang ke negeri asal semula, dan bukannya untuk meneruskan perjalanan yang lebih jauh ([18]).

 

 

 

 

 

 



([1])Terjemahan ayat Al-Quran yang terdapat dalam artikel ini berpandukan kepada Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran (30) Juz, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Darul Fikir, Kuala Lumpur, Malaysia, Safar 1422/Mei2001, cet. 12.

([2]) Terbitan Khas oleh Universiti Amerika Terbuka, Kaherah, 1421H/2000M, ms. 142

([3]) Lihat: Ibn al-Humam, Fath al-Qadir, Kaherah: al-Halabi, 1970, jld. 2, ms. 278

([4]) Imam Nawawi, al-Majmu', Kaherah: Matba'ah al-Imam, jld. 6, ms. 198; Nihayatul Muhtaj, jld. 6, ms. 151-153

([5]) Al-Syafie, al-Umm, jld.2, ms. 61

([6]) Yusuf al-Qaradhawi, Feqh al-Zakat, jld. 2, ms. 595-596

([7]) Imam al-Fakhr al-Razi, al-Tafsir al-Kabir, jld. 16, ms. 112 ; Ibn al-Arabi, Ahkam al-Quran, jld. 2, ms. 955 ; Abu Ubaid, Al-Amwal, ms. 608-609.

([8]) Ayat 60 Surah al-Taubah

([9]) Ibn Najim al-Hanafi, al-Bahr al-Ra'iq, jld. 2, ms. 260 ; Al-Haskafi, al-Durr al-Mukhtar, jld. 6, ms. 63.

([10]) Lihat : Imam Nawawi, al-Majmu', jld. 6, ms. 207 ; Al-Ramli, Nihayatul Muhtaj, jld. 6, ms. 155.

([11]) Imam Nawawi, Ibid ; Al-Ramli, Ibid.

([12]) Lihat : Imam Nawawi, Al-Raudhah, jld. 2, ms. 319 ; Al-Ramli, Ibid.

([13]) Tuhfatul Muhtaj, jld. 3, ms. 96 ; lihat juga Al-Ramli, Ibid, ms. 155-156 ; Ibn al-Arabi, Ahkam al-Quran, jld. 2, ms. 957.

([14]) Al-Karmi, Ghayah al-Muntaha, jld. 2, ms. 147-148.

([15]) Al-Dirdir, Al-Syarh al-Saghir, ms. 233-234 ; Lihat pendapat yang sama : Al-Dasuqi, Hasyiah, jld. 1, ms. 497.

([16]) Lihat : Al-Tabari, Tafsir al-Tabari, jld. 14, ms. 320.

([17])  Ibn Qudamah, al-Mughni, jld. 2, ms. 167.

([18])  Imam Nawawi, opcit., jld. 6, ms. 214 ; Al-Ramli, opcit., jld. 6, ms. 156.

Ruangan Komentar

Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh menghantar komen.
Sila login atau daftar.

Powered by AkoComment 2.0!

Dikemaskini ( Ahad, 22 Oktober 2006 )